~ MuTiArA kAtA

Jangan malu memberikan sedikit, kerana pemberian sedemikian lebih baik daripada tidak memberi sama sekali & Dan aku anak kampong tidak terlalu pandai menulis....akan tetapi apa yang baik akan ku kongsikan jua.....

Monday, April 25, 2011

Kemalangan dirancang, untung dikaut


STATISTIK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman merekodkan bahawa jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya telah meningkat setiap tahun sejak lima tahun lalu. Dalam tempoh tersebut, peningkatan paling ketara berlaku pada 2006 iaitu sebanyak 8.5 peratus atau 54,000 kes menjadikannya 635,082 kes berbanding 581,082 kes (2005).
Sementara itu, pada tahun lalu, jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ialah sebanyak 762,529 kes, meningkat 4.2 peratus daripada tahun sebelumnya yang berjumlah 705,623 kes.
Peningkatan terendah pula ialah pada 2008 iaitu hanya 7,941 kes (1.17 peratus) kepada 676,114 kes daripada 668,173 kes (2007).
Perangkaan tersebut secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa kemalangan jalan raya yang berlaku di negara ini amat serius.
Di sebalik kebimbangan tersebut, wujud satu lagi fenomena yang ‘menakutkan’ apabila ada pihak-pihak tertentu telah menjadikannya sebagai satu cabang perniagaan paling menguntungkan.
Wartawan Unit Khas Utusan Malaysia, SITI MARIAM MD. ZAIN, ROSALINDA MD. SAID dan TERMIZI CHE ANUAR serta jurugambar,
ISMAIL KAMADIN cuba merungkai persoalan ini.

  • Kemalangan tidak berbau tetapi ada juga kemalangan yang sengaja dirancang pihak tertentu bertujuan mengaut keuntungan.

  • Antara pihak yang mendapat keuntungan apabila berlaku kemalangan adalah bengkel membaiki kereta dan juga pengendali trak tunda yang boleh mendapat pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

  • Laporan Khas Utusan Malaysia mengupas mengenai sesetengah pihak yang sanggup mengupah ‘longkai’ memasang perangkap di jalan seperti paku, minyak dan pasir di kawasan yang mudah berlaku kemalangan.

  • Perkhidmatan trak tunda telah menjadi perniagaan menguntungkan dan setakat ini, tiada pihak mengawal pergerakannya. Malah tidak seperti teksi, trak tunda tidak memerlukan permit.

  • KUALA LUMPUR – Jika setiap kenderaan yang ditunda ke bengkel dibayar komisyen antara 10 hingga 15 peratus daripada kos tuntutan insurans kemalangan, bayangkan keuntungan yang mampu dikaut oleh syarikat trak tunda apabila tahun lalu sahaja jumlah kenderaan yang terbabit dengan kemalangan dicatatkan ialah sebanyak 762,529!
    Dengan purata tuntutan insurans antara RM1,000 hingga RM3,000, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami, syarikat trak tunda mampu memperoleh antara RM100 hingga RM450 hanya untuk sebuah kenderaan. Itu belum lagi termasuk bayaran menunda ke bengkel.
    Komisyen tersebut akan dibayar oleh pemilik-pemilik bengkel bagi memastikan mereka mendapat lebih ramai pelanggan.
    Perkhidmatan trak tunda sebenarnya telah menjadi perniagaan atau industri yang menguntungkan. Tetapi setakat ini, tiada pihak mengawal pergerakannya. Malah, tidak seperti teksi, trak tunda tidak memerlukan permit.
    Sejak lima tahun lalu, jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya seperti direkodkan oleh pihak polis meningkat 24 peratus atau 181,447 kes iaitu daripada 581,082 kes pada tahun 2005 kepada 762,529 tahun lalu.
    Kenderaan yang paling banyak terlibat pula ialah kereta diikuti motosikal, pelbagai jenis lori, pacuan empat roda, van dan sebagainya.
    Peningkatan statistik kemalangan jalan raya dari setahun ke setahun, secara tidak langsung memberi ruang kepada perkembangan industri ini sekali gus menarik lebih ramai melibatkan diri.
    Dengan pendapatan seorang pemandu trak tunda yang mampu mencecah RM10,000 sebulan, mereka sanggup melakukan apa sahaja.
    Apa yang pasti, semakin hari, kepantasan pemandu-pemandu trak tunda menghidu kes-kes kemalangan yang berlaku semakin hebat.
    ‘Kecekapan’ dan habuan lumayan yang menanti ini juga telah menimbulkan pelbagai persoalan sehingga ada dakwaan mengatakan sebilangan daripada kemalangan itu sengaja dirancang.
    Dakwaan tersebut mungkin benar menerusi beberapa pendedahan wujudnya ‘perangkap’ di laluan utama jalan raya seperti Kuala Terengganu-Kuantan, Jerangau-Jabor, laluan pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu dan Kuala Terengganu-Kota Bharu melalui Bandar Permaisuri sebelum ini.
    Malah, Jambatan Pulau Pinang juga pernah menjadi saksi tentang kewujudan pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini melakukan aktiviti khianat.
    Antara yang digunakan sebagai perangkap ialah span berpaku, besi tajam, minyak petrol serta pasir yang sengaja ditabur di jalan raya.
    Seorang pemilik trak tunda mendedahkan, kerja meletakkan minyak atau objek lain itu dilakukan oleh pihak ketiga yang dipanggil ‘longkai’ atau call man yang mendapat komisyen bagi setiap kemalangan dimaklumkan kepada mereka.
    Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah pula berkata, berdasarkan kajian, kebanyakan kemalangan adalah disebabkan faktor kecuaian manusia.
      

    Sepantas kilat, mereka tiba di lokasi

    SELAIN kecuaian, kemalangan yang berlaku juga berkemungkinan disebabkan terdapatnya 'perangkap' seperti paku, minyak atau pasir yang diletakkan di atas jalan oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan


    KISAH 1: 

    FARIZ Fikri, 23, pernah mengalami pengalaman membabitkan sikap biadab dan kasar pemandu trak tunda apabila terbabit dalam kemalangan setelah terlanggar sebuah kereta di hadapannya.
    Kemalangan itu menyebabkan keretanya gagal dihidupkan dan pada masa sama, dia menghubungi pak ciknya yang juga seorang anggota polis untuk membantu.
    Tidak sampai lima minit, dua buah kereta yang dipercayai runner tiba sambil membawa walkie-talkie.
    ''Mereka bertanya dengan nada keras kereta saya boleh bergerak atau tidak dan apabila dijawab tidak, serta-merta mereka menolaknya ke bahu jalan.
    ''Dengan cara mengugut, mereka terus menawarkan khidmat tunda kereta ke bengkel panel insurans dengan caj yang murah tetapi saya tidak bersetuju kerana mahu menunggu pak cik terlebih dahulu," katanya.
    Bagaimanapun keadaan kembali terkawal apabila pak ciknya datang dengan kereta polis.

    KISAH 2:

    PENGALAMAN buruk itu juga pernah dialami seorang gadis, Lili Ahmad, 26, apabila terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.
    Hujan renyai-renyai menyebabkan permukaan jalan raya menjadi licin dan agak sukar untuk memberhentikan kereta serta-merta.
    Tiba-tiba kenderaan di hadapannya berhenti mengejut, menyebabkan kereta dipandunya gagal berhenti walaupun telah membrek.
    ''Selang beberapa minit, datang sebuah trak tunda yang menawarkan perkhidmatan menunda kereta untuk dihantar ke bengkel.
    ''Pada mulanya saya enggan menerima tawaran itu kerana mahu menunggu abang datang tetapi gagal menghubunginya," kata Lili.
    Dalam keadaan trauma dan panik, Lili terpaksa menerima tawaran itu kerana tidak mahu lama berada di tempat kejadian.
    Akibatnya, dia bukan sahaja dikenakan caj yang tinggi malah keretanya terpaksa berada di bengkel itu selama sebulan kerana kekurangan pekerja.

    KISAH 3:

    SEORANG pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Jidin, 27, pernah menghadapi satu kejadian hampir meragut nyawanya ketika pulang ke kampung di Terengganu melalui Lebuh Raya Karak pada cuti persekolahan baru-baru ini.
    ''Cuaca pada hari itu baik, kereta yang baru diservis juga meyakinkan saya untuk memandu dengan kelajuan 100 kilometer sejam.
    ''Tiba-tiba kereta saya hilang kawalan sebelum berhenti di tepi jalan. Apabila memeriksanya, saya mendapati terdapat tumpahan minyak yang agak banyak di kawasan tersebut," katanya.
    Tidak lama selepas itu, beliau didatangi sebuah kereta dengan dua orang lelaki bertanyakan keadaan keretanya.
    ''Mujur kejadian itu tidak meragut nyawa saya. Tetapi yang jelas ini menunjukkan memang ada pihak dengan sengaja meletakkan minyak gris ke atas jalan bagi tujuan mengaut keuntungan tanpa memikirkan keselamatan pengguna,'' ujarnya.
    Jidin berpendapat trak-trak tunda wajar diharamkan dari memasuki lebuh raya dan penyelenggara lebuh raya itu perlu menyediakan perkhidmatan trak tunda bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.

    Budok kampong selalu jugek dengar perkara mcm ni sebelom ni....boleh katakan  ramai pengguna jalan raya yg mengatakan ada di sesetengah kawasan di jalan raya keadaan nya sangat menakutkan...dan sesetengah kemalangan itu sukar di terima akal kerana kemalangan berlaku tanpa melibatkan kereta pihak ke2 dan tiba2 kereta hilang kawalan....

    mfab :))

    No comments: