membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya
maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup
kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu
Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar - Istighfar adalah
rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi
sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan
melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang
siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala
kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari
arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu
Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa - Istighfar tidak laku
di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah
malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “dan seorang lelaki akan
diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat
at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah - Banyak ingat Allah buatkan
hati tenang dan kehidupan terasa lapang.Ini rezeki yang hanya Allah
beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan
hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya
dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa - Dalam hadis
riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin
panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu
bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah
akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala,
at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi
sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba
itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah
rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah -
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu
diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah
di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain - Menunaikan hajat
orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya
hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat
saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat - Ada hadis yang menganjurkan
berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu
dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan
rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak - Ibnu Abbas
berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.
Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi - Menurut Rasulullah s.a.w.,
berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh
berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 . Menjalin silaturrahim - Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka
hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk - Seorang Arab desa
menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara
termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan
memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah - Sedekah mengundang rahmat Allah dan
menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada
Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba
itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap
hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada
orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang
menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-
Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud) - Ada keterangan
bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab
seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan
Allah
15. Melazimi solat Dhuha - Amalan solat Dhuha yang
dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian),
juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai
anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat
pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan
keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah - Syukur ertinya mengakui
segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat.
Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku
tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur,
sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7). Firman-Nya lagi: “… dan
Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali
Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran - Zikir
dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah
at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap
kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan
kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha
Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika
diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang,
diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah
pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis
menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak
akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa - Berdoa menjadikan seorang hamba dekat
dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian
dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya
Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya - Siapa berusaha, dia akan
dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah
berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak
dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya
saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi orang
beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa
kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang
dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam
rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan
halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik,
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal - Dengan tawakal, seseorang itu akan
direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal
kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan
sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi
rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat
Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin
al-Khattab r.a.)
NOTA: Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa,
Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) ,
dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang
sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini
menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya
dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
http://fadir78.blogspot.com/