Jangan malu memberikan sedikit, kerana pemberian sedemikian lebih baik daripada tidak memberi sama sekali & Dan aku anak kampong tidak terlalu pandai menulis....akan tetapi apa yang baik akan ku kongsikan jua.....
Antara kesan buruk ialah pewaris akan menghadapi seksaan amat perit ketika hendak mati kerana roh sukar keluar
IA bermula dengan upacara yang jelas bertentangan dengan syariat serta
menghina Islam antaranya seseorang itu akan memuja kubur atau tengkorak,
meminum darah, membaca surah suci secara terbalik atau memijak al-Quran
terlebih dulu.Semua upacara itu dilakukan berserta jampi mantera
bertujuan menyeru kehadiran syaitan. Seterusnya selepas berjaya menyeru
kehadiran jin atau syaitan, perjanjian berserta syarat dan pantang
larang akan dimeterai antara manusia dengan makhluk ghaib berkenaan.
tulah proses permulaan bagi mendapatkan saka dan rentetan daripada
perjanjian itu, syaitan akan sentiasa mendampingi tuannya sehingga
manusia terbabit boleh menggunakan kebolehan makhluk halus itu untuk
kepentingan dirinya.
Pengamal Perubatan Islam Darussyifa’ di
Bangi, Selangor, Mohd Fauzi Mustaffa, berkata saka adalah antara
perbuatan ‘ilmu hitam’ yang sudah lama wujud dan diamalkan individu
tertentu di dunia ini termasuk di Malaysia.
Beliau berkata,
kebiasaannya manusia terbabit menggunakan bantuan jin untuk pelbagai
kepentingan seperti ingin menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan
harta; menjadi kuat, berharta, disayangi atau digeruni ramai pihak
selain mahukan makhluk ghaib itu membantunya bekerja di ladang atau
lautan.
“Pada mulanya memang saka ini kelihatan seperti memberi
pelbagai kelebihan kepada tuannya contohnya untuk melindungi diri,
keluarga serta harta benda dan sebagainya tetapi itu semua hanyalah tipu
helah saka bagi menyesatkan manusia.
“Pelbagai kesan buruk dan
masalah akan timbul pada masa panjang dan kemuncaknya menyebabkan
manusia itu melakukan dosa besar iaitu syirik kepada Allah SWT,”
katanya.
Beliau berkata, antara kesan buruk memelihara saka
adalah pemiliknya akan menghadapi seksaan yang amat perit ketika hendak
mati kerana roh mereka sukar untuk keluar daripada jasad menyebabkan
mereka terseksa sehingga menemui ajal.
Katanya, situasi lebih
dahsyat berlaku apabila ada kes di mana pemilik saka sudah meninggal
dunia tetapi saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.
Keadaan itu menyebabkan saka berkenaan ‘menumpang’ pada jasad tuannya
sehingga pemilik saka itu kelihatan seolah-olah masih hidup dan bergerak
walaupun dia sebenarnya sudah meninggal dunia.
Lebih
membimbangkan adalah jin yang menjadi saka juga boleh mencemari maruah
keluarga pemiliknya dengan mengadakan hubungan kelamin bersama isteri
atau anak perempuan tuannya. Gangguan saka juga menyebabkan seseorang
mengalami penyakit misteri yang amat menyeksakan.
Mohd Fauzi
berkata, syaitan sememangnya gembira apabila ada manusia yang menyeru
untuk berdamping dengan mereka kerana mereka mahu menyesatkan manusia
seperti firman Allah menerusi surah al-Hijr, ayat ke-39: “Iblis berkata:
"Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau memutuskan aku sesat, pasti aku akan
menjadikan mereka (manusia) memandang baik (perbuatan maksiat) di muka
bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
Beliau
berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi pemilik saka adalah jin
berkenaan perlu diwariskan kepada individu lain apabila pemiliknya
hampir menemui ajal selain pemilik perlu menjamu saka peliharaannya
dengan darah, kemenyan atau sebagainya.
Katanya, saka adalah
masalah gangguan makhluk halus yang kerap ditemui pengamal perubatan
Islam, selain sihir dan santau malah berbanding sihir dan santau, saka
paling sukar dan memakan masa untuk diubati; lebih lama seseorang itu
berdampingan dengan saka, lebih sukar untuk membuangnya.
Masalah gangguan saka semakin menjadi-jadi apabila pemilik berkenaan
meninggal dunia tanpa sempat mewariskan saka berkenaan menyebabkan jin
berkenaan akan merewang serta mengganggu dan menyakiti ahli keluarga dan
orang lain.
“Sesetengah anak yang mewarisi saka pula tidak
mengetahui apakah syarat dan pantang larang ketika perjanjian dimeterai
menyebabkan mereka tidak menunaikan perjanjian itu seperti tidak
menyediakan makanan kepada jin terbabit menyebabkan makhluk itu akan
mengganggu dan menyakiti mereka kerana marah,” katanya.
Mohd
Fauzi berkata, hukum mengguna atau mewarisi saka adalah haram dalam
Islam seperti firman-Nya: “Dan hari (kiamat) Allah akan himpunkan mereka
semua, (lalu berfirman): ‘Wahai golongan jin (syaitan), sesungguhnya
kamu banyak (menyesatkan) manusia’, lalu berkatalah sahabat mereka dari
golongan manusia: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian kami sudah
mendapat kesenangan dari sebahagian yang lain (jin) dan kami sampai
kepada masa yang Engkau tentukan bagi kami (hari pengadilan)’.
“Allah berfirman: ‘Neraka itulah tempat diam kamu sedang kamu kekal
didalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain)’. Sesungguhnya
Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui,” (surah al-An’aam: 128).
Sehubungan itu, ahli keluarga lain atau sesiapa saja dilarang menerima
warisan saka daripada pemilik asal dan bagi mereka yang sudah menerima,
perlu diusaha untuk memutuskan hubungan dengan makhluk terbabit.
“Untuk merawat atau membuang saka pula, pesakit perlu dirujuk kepada
pengamal perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah serta
mengelak daripada berjumpa bomoh atau pengamal perubatan yang berasaskan
jin,” katanya.
Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah, Dr Jahid
Sidek, berkata bagi mengubati manusia yang diganggu saka, rawatan perlu
dilakukan daripada ‘atas ke bawah’ iaitu menyembuhkan datuk atau bapa
terlebih dulu kerana tanpa berbuat demikian, gangguan itu berterusan
kerana puncanya berada ‘di atas’.
“Contohnya seorang pesakit
saya iaitu kanak-kanak mengalami sakit pelik dan gatal seluruh badan;
apabila berjumpa dengan doktor dan diberi ubat, gatal itu semakin
merebak. Apabila dibawa berjumpa saya, saya dapati jin yang menyebabkan
sakit kepada si anak berada di tubuh bapanya.
“Walaupun yang
sakit adalah anak dan bapa pula sihat seperti biasa, rawatan perlu
dilakukan terhadap bapa dan selepas dirawat, alhamdulillah si anak turut
sembuh,” katanya yang menjalankan rawatan di pusat perubatannya di Batu
7, Kuang, Selangor.
Beliau yang juga bekas pensyarah Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya, berkata selain memberi kelebihan
kepada tuannya, saka juga menjaga harta dan barang pemiliknya
menyebabkan gangguan boleh berlaku jika barang pemilik saka dimiliki
orang lain.
“Itulah sebabnya jika ingin mengubati kes gangguan
saka, barang pemilik saka perlu dibuang terlebih dulu; kadang-kadang
timbul masalah apabila barang itu dijual kepada orang lain yang tidak
mengetahui menyebabkan orang itu diganggu saka berkenaan,” katanya.
FAKTA: Saka
• Syaitan adalah jin yang kafir dan ketua syaitan adalah Iblis.
• Kaedah mengubati gangguan atau membuang saka harus dirujuk kepada
pengamal perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Mengubati sihir dengan menggunakan sihir (nushrah) seperti mengunjungi
pengamal perubatan yang menggunakan jin untuk mengubati gangguan makhluk
halus adalah haram.
• Saka yang dipelihara wanita digelar
‘pelesit’ dalam budaya Melayu manakala yang dipelihara lelaki digelar
‘hantu raya’. Hantu raya terdiri daripada jin berjenis Ifrit (golongan
jahat).
• Antara kaedah memperkuatkan pertahanan diri bagi
menghadapi gangguan saka dan makhluk halus adalah mengamalkan bacaan
ayat kursi, membaca doa menghalau syaitan (al-Mukminum: ayat 97 dan 98),
sentiasa membaca al-Quran dan ta’awwuz selain kuat beribadat kerana
syaitan akan berasa panas apabila berhadapan dengan mereka yang
mengamalkan kaedah berkenaan.
• Jin yang tidak begitu kuat boleh ditangani dengan garam dan cuka.
• Dalam kebanyakan kes, antara barang tuannya yang dijaga saka tetapi
dijual kepada orang lain termasuklah barang antik dan bersejarah malah
ada juga hiasan berupa tulisan ayat al-Quran.
Antara jenis saka • Saka harimau: Menyebabkan pemiliknya ditakuti manusia lain lebih-lebih lagi musuh. • Saka buaya: Mampu mengawal dan menjinakkan buaya. • Saka ular: Mampu mengawal dan menjinakkan ular.
• Saka bomoh: Menjadikan pemilik kononnya mampu mengubati pesakit
gangguan makhluk halus. Sebenarnya, jin peliharaan bomoh terbabit
berlawan dengan jin yang mengganggu pesakit dan jika jin bomoh menang,
jin yang mengganggu pesakit akan beredar dan pesakit kelihatan sembuh.
• Saka kuat atau saka penimbul: Menjadikan pemiliknya kuat sehingga
mampu mengangkat barang yang amat berat atau menjadi kebal. Menggunakan
jin berjenis angin. • Saka susuk: Menjadikan pemiliknya kelihatan cantik. • Toyol: Jin dipelihara untuk mencuri wang manusia lain secara ghaib.
No comments:
Post a Comment