~ MuTiArA kAtA

Jangan malu memberikan sedikit, kerana pemberian sedemikian lebih baik daripada tidak memberi sama sekali & Dan aku anak kampong tidak terlalu pandai menulis....akan tetapi apa yang baik akan ku kongsikan jua.....

Wednesday, April 20, 2011

UTUSAN MALAYSIA ONLINE_ Warga asing punca kes dadah meningkat


KOTA BHARU 19 April - Kes penyalahgunaan dadah di negara ini meningkat dengan ketara iaitu 25.58 peratus pada tahun lalu apabila merekodkan 157,765 tangkapan berbanding 125,620 tangkapan pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, sehingga Mac lalu seramai 42,133 orang telah ditahan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Beliau berkata, bilangan pengedar yang ditangkap pada tahun lalu juga meningkat kepada 3,700 orang dengan 499 daripadanya warga asing berbanding 2,955 orang dengan 225 warga asing pada 2009.
Jelasnya, dalam tempoh dua tahun lalu, seramai 413 warga Indonesia telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah sementara Myanmar pula seramai 570 orang, Thailand (660 orang) dan Iran (228 orang).
Katanya, kebanjiran warga asing ke negara ini merupakan antara punca kepada peningkatan kes-kes penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
"Tindakan perlu ditingkatkan untuk membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Dalam konteks ini, bukan sahaja pihak berkuasa dan kerajaan, semua lapisan masyarakat perlu terlibat sama kerana setakat pihak berkuasa sahaja tidak cukup," katanya di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas melawat Klinik Cure & Care 1Malaysia Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan di Pengkalan Chepa di sini.
Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri.
Abu Seman berkata, kebanyakan golongan terlibat dengan dadah berusia antara 18 hingga 40-an iaitu kumpulan usia produktif.
"Sekiranya ia tidak dikawal, keadaan bertambah parah dan ia akan merugikan serta memberi kesan tidak baik kepada negara kerana kerajaan sejak 1983 telah membelanjakan lebih RM2 bilion bagi menjalankan pelbagai program pemulihan melalui institusi, komuniti dan perubatan," katanya.
Mengenai pengedaran dadah di negeri-negeri bersempadan, Abu Seman berkata, pihak berkuasa sentiasa meningkatkan kawalan di kawasan sempadan termasuk di perairan negara selain membanteras aktiviti pemerdagangan manusia.

mfab :))

No comments: