~ MuTiArA kAtA

Jangan malu memberikan sedikit, kerana pemberian sedemikian lebih baik daripada tidak memberi sama sekali & Dan aku anak kampong tidak terlalu pandai menulis....akan tetapi apa yang baik akan ku kongsikan jua.....

Tuesday, December 28, 2010

1 lagi mayat ditemui tanpa jaket keselamatan



Rangka bot karam yang mengorbankan empat warga Singapura manakala seorang lagi masih hilang di perairan Tanjung Leman, Mersing, semalam. - utusan/RAJA JAAFAR ALI


MERSING 27 Dis. - Satu lagi mayat mangsa tragedi bot karam berhampiran Jeti Tanjung Leman di sini, petang semalam ditemui hari ini menjadikan jumlah yang terkorban sehingga kini empat orang.
Mayat Tor Soon Kwee, 41, warga Singapura ditemui kira-kira dua kilometer dari Pantai Tanjung Leman pukul 7 pagi oleh pasukan menyelamat tanpa memakai jaket keselamatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, usaha menyelamat seorang lagi mangsa iaitu Eng Kian Tek, 44, masih diteruskan.
Ia dilakukan dengan bantuan 133 anggota pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Pasukan Gerakan Marin (PGM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lain-lain agensi.
"Sehingga kini, empat mayat mangsa telah dijumpai iaitu Low Lee Jun, 33; Chua Lim Kun, 45; Adrian Tan Kook Yoong, 67, dan Soon Kwee, manakala seorang lagi pelancong juga warga Singapura masih belum ditemui.
"Fokus pasukan penyelamat sekarang adalah mencari mangsa terakhir dan saya berharap agar pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian dan meninjau operasi gerakan mencari dan menyelamat.
Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan bot kayu berukuran 40 meter x 10 meter itu membawa muatan berlebihan daripada yang sepatutnya iaitu hanya 12 penumpang.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini juga mendapati, kerja-kerja mengumpul serpihan bot yang pecah akibat dipukul ombak giat dijalankan oleh pasukan penyelamat.
Serpihan bot tersebut boleh dilihat di sepanjang Pantai Tanjung Leman dan usaha mencari satu lagi mangsa masih dijalankan termasuk dengan bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia.
Sementara itu, Mohd. Mokhtar berkata, pengusaha kelong dan tekong bot berkenaan masing-masing berusia 58 dan 67 tahun kini ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.
Beliau turut melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta berpuas hati dengan pasukan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat berkenaan.

mfab :))

No comments: