Amalan Memurahkan Rezeki
Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan
rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki
yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk
memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca
kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat
hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku
akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup
kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu
Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar
adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang
menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia
berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan
memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad,Abu
Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan
saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4.Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini
rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi
tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa
yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti
kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga
bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah
buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala,
at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya
nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan
ad-Dailami)
6.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin,juga
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak
tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,kesedihan, dan
kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua
hajat. Wallahu a’lam.
9.Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan
rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain.Manakala
kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan
tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10.Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti
hariansebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang
berkat.
11.Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka
hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman
mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah .
Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih
(dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan
daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy,
yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar
nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain,
nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan,
nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas
r.a.)
14.Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan
bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi
sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya
dimakbulkan Allah
15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat
Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia
(aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam
hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas
mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti
pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat
al-Hakim dan Thabrani)
16.Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku
amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi
balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan,
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. Misalnya, dua ayat terakhir surah
at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap
kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan
kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha
Membukakan) dikatakan dapat
menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu;
misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi
doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu,bukalah
pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis
menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, diatidak
akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18.Berdoa
Berdoa
menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan
mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah
suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19.Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih
dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan
yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah
beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh
membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya,hendak tenang
dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak
dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik
dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik,
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan(keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan
sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi
rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat
Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin
al-Khattabr.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan
yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar
(dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari
jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek
kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang
sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini
menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya
dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
http://fadir78.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment