Saturday, May 7, 2011

Kapcai 'HRC' Honda





MENJADI produk kedua dalam rangkaian model "All Mode Mighty Series", kapcai keluaran Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew) ini sememangnya menawan.
Dengan rekabentuk luaran yang kontemporari, ditambah pula skim warna biru merah dan putih yang diangkat daripada jentera lumba MotoGP milik HRC (Honda Racing Corporation), model itu sememangnya pesaing serius buat apa jua kapcai yang ada dalam pasaran sekarang.
Boon Siew menamakan model terbarunya sebagai Honda Wave Dash. Walaupun kurang pasti dengan pemilihan tagline "Kekasih Gelapku" itu, Honda Wave Dash bagaimanapun mungkin tidak sukar untuk menarik minat pembeli.
Model ini masih menggunakan enjin yang sama pada kapcai sebelumnya, Honda Wave 110. Sekali fikir, ia mungkin kurang berkuasa tetapi anda harus ingat bahawa Honda memang terkenal dengan enjin yang sangat tahan lasak dan menjimatkan petrol.
Honda Wave Dash juga mesra alam melalui teknologi terkininya. Motosikal itu dikuasakan oleh enjin empat lejang yang mampu menjana kuasa sehingga 6.22KW @ 7,500 RPM dan tork maksimum 8.59Nm @ 7,500 RPM.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada mengakui bahawa Honda Wave Dash yang berkongsi komponen-komponen utama dengan Honda Wave 110 menggabungkan kesinambungan dari segi prestasi, rekabentuk, fungsi dan penjimatan bahan api.
"Pasaran kapcai berkapasiti enjin sederhana dijangka meningkat secara drastik berikutan semakin banyak model baru memasuki pasaran dan memberi lebih banyak pilihan kepada penunggang," kata Okada.
Pada majlis pelancaran yang sama, dua orang pemenang peraduan Honda Genuine Oil Campaign telah dipilih. Pemenangnya ialah Kaahaa a/p Ai Ting dari Sik Kedah yang memenangi sebuah skuter Honda Icon. Sementara Gan Chin Kiong dari Melaka pula membawa pulang sebuah Honda Wave 125x Ultimo.
Kerangka Honda Wave Dash yang aerodinamik direka untuk mengurangkan kebisingan angin dan memastikan kestabilan ketika ditunggang pada kelajuan tinggi. Ruang penyimpanan di bawah tempat duduknya juga luas untuk membolehkan penunggang menyimpan barang mereka dengan selamat.
Jentera ini hadir dalam dua varian iaitu RS dan RSR dengan lima warna pilihan. RSR didatangkan dalam warna merah dan oren. Sementara RS pula ditawarkan dengan warna merah, ungu dan biru. Bezanya, model RSR dilengkapi dengan penghidup elektrik, selain rim aloi lima jejari berwarna emas dan brek cakera pada roda hadapannya.
Lampu utama halogen bersepadu dan lampu belakang berbentuk berlian memberikan rupa yang lebih sporty serta bergaya kepada model itu. Motosikal itu juga mempunyai sistem kunci dikenali sebagai Double-glow Shuttle Lock System bagi memastikan keselamatan yang lebih baik.
Honda Wave Dash yang baru boleh didapati di bilik pameran semua pengedar sah Boon Siew mulai 15 Mei 2011. Harga di atas yang dicadangkan untuk Honda Wave Dash model RSR ialah RM5,268 dan RM4,998 bagi model RS.
Pasaran untuk kapcai berkapasiti enjin sederhana pada tahun 2010 adalah sebanyak 102,000 unit. Justeru, Boon Siew menetapkan sasaran jualan yang optimis iaitu sebanyak 20,000 unit bagi Honda Wave Dash pada tahun 2011.
Maklumat lanjut, sila hubungi talian bebas tol Boon Siew Honda 1800-88-3993 atau layari laman web www.boonsiewhonda.com.my 

hahaha..kena pilih betui2 ni....2-2 cantik dan sama hebat....Apa2 hal kena kasi siasat kat kedai dulu....
 
mfab :))

1 comment: