Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, proses mencari ilmu sewajarnya dilakukan secara berterusan sepanjang tempoh perkahwinan bagi menjamin kebahagiaan sesebuah pasangan sehingga ke akhir hayat.
"Amat menyedihkan apabila kebanyakan pasangan suami isteri hari ini mengambil mudah soal ilmu rumah tangga. Mereka fikir ilmu yang diperoleh semasa menjalani kursus perkahwinan sudah cukup untuk mereka gunakan sampai bila-bila.
"Hakikatnya, kursus tersebut tidak membolehkan mereka untuk memahami dengan sempurna tugas dan tanggungjawab sebagai pasangan suami dan isteri apatah lagi pelaksanaan kursus itu hanya memberi gambaran awal kepada bakal pasangan tentang alam perkahwinan," katanya.
Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia semalam yang mendedahkan mengenai punca-punca perceraian termasuk suami isteri curang, pengaruh laman sosial di Internet dan jahil agama.
Tambah Zawiah, antara langkah terbaik yang boleh dilakukan pasangan dalam mencari ilmu tersebut adalah dengan menghadiri kursus-kursus tertentu seperti kursus pengurusan keluarga dan anak serta lain-lain lagi.
"Apa yang penting, jangan malu untuk menghadiri kursus-kursus tersebut. Jangan ingat kursus sebegini hanya dikhususkan kepada pasangan dan keluarga yang bermasalah sahaja kerana sesiapa pun boleh menyertainya jika berminat," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan bahawa kursus perkahwinan memerlukan penambahbaikan daripada aspek tertentu, Zawiah berkata, perkara itu akan diteliti pihak Jakim dari semasa ke semasa.
"Berdasarkan respons yang diperoleh, rata-rata bakal pasangan suami isteri berpuas hati dengan pengisian kursus praperkahwinan yang sedia ada itu.
"Namun, tidak mustahil jika suatu hari nanti elemen baru terutama yang melibatkan ilmu rumah tangga dan pengurusan keluarga akan ditekankan secara mendalam dalam pengisian kursus tersebut," katanya.
mfab :))
No comments:
Post a Comment