|
|
GAZA CITY 26 Dis. - Kereta kebal Israel melepaskan tembakan meriam bertalu-talu ke Genting Gaza hari ini selepas askarnya menembak mati dua pejuang Jihad Islam dalam pertempuran di kawasan sempadan wilayah Palestin ini.
Pemerintah Gaza, Hamas berkata, pejuangnya 'bersedia' untuk kembali berperang jika rejim Zionis meneruskan serangan.
Keganasan itu meningkat menjelang hari ulang tahun kedua kempen serangan tiga minggu Israel ke atas Genting Gaza pada 27 Disember 2008, dan menyusuli bedilan roket pejuang Palestin dari wilayah ini sejak beberapa minggu lalu, dibalas dengan serangan udara Israel.
Mahmoud Al Najar dan Mosab Abu Rock terbunuh dalam pertempuran dengan askar Israel di satu kawasan ke timur Khan Yunis, selatan Genting Gaza, kata saksi dan sebuah pertubuhan pejuang Palestin, Briged Al-Quds.
Seorang jurucakap tentera Israel mengesahkan pertempuran itu.
"Askar melepaskan tembakan ke arah anggota sebuah pertubuhan Palestin yang cuba memasang bahan letupan di kawasan dekat benteng keselamatan," katanya.
Helikopter penggempur Israel turut membantu askar yang melepaskan tembakan ke arah pejuang Palestin dalam insiden tersebut.
Ketegangan meningkat di sepanjang Genting Gaza sejak kumpulan pejuang Palestin meningkatkan aktiviti mereka dengan melepaskan tembakan mortar dan roket ke selatan Israel.
Israel membalas dengan melancarkan beberapa serangan udara, termasuk serangan awal semalam yang menyebabkan dua orang cedera dan bekalan elektrik terputus di bandar ini.
Hamas yang memerintah Genting Gaza terus mematuhi gencatan senjatanya dengan Israel tetapi memberi amaran ia bersedia untuk kembali berperang jika Israel menyerang wilayah itu.
Sayap bersenjata Hamas semalam memberi amaran, ia bersedia untuk menangkis sebarang serangan Israel dan mendakwa memiliki senjata rahsia.
"Gencatan senjata pada dasarnya wujud jika Israel menghentikan serangan dan menamatkan sekatan.
"Bagaimanapun jika berlaku serangan Israel ke atas Genting Gaza, kami akan membalas dengan sekeras-kerasnya," kata seorang jurucakap Briged Al-Qassam. - AFP
Semoga perjuangan mu sentiasa mendapat keredhaan allah swt...
mfab :))
No comments:
Post a Comment