Monday, December 27, 2010

Bot karam: 3 maut, 2 hilang




Mangsa bot karam diberi pertolongan cemas di Jeti Tanjung Leman, Mersing, semalam.

MERSING 26 Dis. – Tiga maut manakala dua lagi masih hilang apabila sebuah bot membawa 29 penumpang terbalik dan karam dipukul ombak kuat ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah kelong memancing ikan berhampiran Pulau Sibu ke Jeti Tanjung Leman di sini hari ini. Ketiga-tiga mangsa yang maut ialah Low Lee Jun, 33; Chua Lin Kun, 45; dan Adrain Tan, 67.
Dua yang masih hilang pula adalah Ng Kian Teck, 44, dan Tor Soon Kwee, 41.
Kesemua mangsa merupakan warga Singapura.
Ketua Polis daerah, Supritendan Mohd. Nor Rashid berkata, ketika kejadian pukul 1.30 petang itu, bot nelayan yang membawa sembilan rakyat tempatan, 19 warga Singapura dan seorang warga China dalam perjalanan pulang ke jeti selepas selesai memancing di kelong berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, tekong bot tersebut dikatakan gagal mengawal bot berkenaan berikutan keadaan ribut dan ombak kuat sebelum ia dipukul ombak dan terbalik, kira-kira 300 meter dari jeti berkenaan.
“Beberapa bot yang berada di jeti berkenaan bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja menyedari insiden itu dan berjaya menyelamatkan 24 penumpang serta tekong bot berkenaan.
“Bagaimanapun, tiga daripada penumpang bot berkenaan mati lemas setelah gagal diselamatkan manakala dua lagi masih hilang,” katanya kepada pemberita di Jeti Tanjung Leman di sini hari ini.
Menurut Mohd. Noor, ketiga-tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat. Mangsa yang terselamat turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Katanya, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan bot kayu berukuran 40 meter X 10 meter itu membawa muatan berlebihan. Bot nelayan berkenaan hanya dibenarkan membawa 12 penumpang berbanding 29 penumpang ketika kejadian.
Kesemua penumpang juga dikatakan tidak memakai jaket keselamatan meskipun bot tersebut mempunyai enam jaket keselamatan.
“Siasatan polis turut mendapati tekong bot berusia 67 tahun itu tidak mempunyai lesen memandu bot. Dia bersama pemilik kelong berusia 58 tahun kini ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana cuai hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Katanya, beberapa agensi penyelamat termasuk Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Laut terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.
Sehingga pukul 8 malam ini, operasi mencari masih diteruskan.
Sementara itu, salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi itu memberitahu keadaan ketika kejadian menjadi kelam kabut apabila bot yang mereka naiki terumbang ambing selepas dipukul ombak sebelum terbalik.
Lim Tai Wee, 35, memberitahu, selepas bot itu karam, dia yang mahir berenang sempat berpaut pada serpihan kayu bot yang telah pecah sebelum diselamatkan tidak lama kemudian.
“Ketika itu, keadaan agak cemas. Secara tiba-tiba sahaja bot jadi senget dan terus terbalik,” katanya.
Tai Wee yang berasal dari Singapura berkata, cuaca ketika kejadian kurang baik berikutan angin yang sangat kuat menyebabkan ombak beralun hingga menyebabkan air naik sehingga ke atas bot.
Seorang mangsa rakyat tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Yap, 19, berkata, dia bernasib baik apabila sempat berpaut pada tong ikan sebaik sahaja bot itu karam.
Katanya, dalam keadaan yang kelam kabut dia turut mendengar suara yang meminta tolong namun tidak mampu berbuat apa-apa berikutan keadaan laut yang bergelora.

Malang memang tidak berbau....tetapi dimanakah  sikap tanggungjawap org yang lebih dewasa atau di pertanggungjawapkan utk menjaga keselamatan penumpang....jaket keselamatan pasal apa x wajibkan...
  
mfab :))

No comments:

Post a Comment